PUSAT PENDIDIKAN PELANCONGAN (EDU-ECOTOURISM) PENGURUSAN HUTAN TROPIKA, HUTAN SIMPAN SUNGAI MENYALA, PORT DICKSON NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS


Hutan Simpan Sungai Menyala di Negeri Sembilan mempunyai keluasan 1,305 hektar dan terletak pada ketinggian 20-40 meter dari aras laut. Struktur geografinya menunjukkan hutan ini merupakan Hutan Dipterokarp Tanah Pamah dan juga merupakan Hutan Dipterokarp Tanah Pamah yang terluas dan terbesar di rantau Tropika. Selain itu, hampir 15% daripada keluasan sebenar Hutan Simpan Sungai Menyala merupakan kawasan berpaya. Ini telah membuktikan bahawa Hutan Simpan Sungai Menyala kaya dengan kepelbagaian biodiversiti flora dan fauna. Hutan Simpan Sungai Menyala juga merupakan salah satu hutan dara yang masih lagi wujud di Semenanjung Malaysia.

Terletak di lokasi yang agak strategik iaitu 29 km dari pusat bandar Seremban, 4 km dari Sungai Sungkala, Linggi, Port Dickson, 12 km dari Bandar Port Dickson, 70 km dari Kuala Lumpur dan 40 km dari KLIA.


Konsep pembangunan:
Secara keseluruhannya, konsep pembangunan dan rekabentuk yang dirancang di pusat ini adalah berdasarkan kepada gabungan elemen-elemen semulajadi, unsur-unsur sejarah, nilai pendidikan dan konservasi. Menurut hasil tinjauan tapak dan maklumat sekunder yang diperolehi, konsep pembangunan bagi kawasan ini adalah lebih memfokuskan kepada pembelajaran pengurusan hutan tropika.

Oleh itu, konsep asas yang bersesuaian dengan kawasan ini ialah Forest for Education and Conservation. Bagi mengaplikasikan konsep ini, kawasan Hutan Simpan Sungai Menyala telah dibahagikan kepada 3 zon iaitu zon pentadbiran, zon pembelajaran dan zon penyelidikan. Setiap zon mempunyai rancangan aktiviti dan tahap pembangunan yang berbeza tetapi mempunyai perkaitan antara satu sama lain.


Aktiviti/Kemudahan:
Penginapan, Kantin, Dewan, Bilik Pameran, Perpustakaan, Ruang Pejabat, Denai Interpretasi, Surau, Gerai, Pokok Jelutong Terbesar, Pokok Tualang (Dalam kajian), Kolam semulajadi, Habitat burung helang


Untuk ke sini:
Pengunjung boleh menaiki kenderaan sendiri atau teksi dan bas dari bandar terdekat iaitu Port Dickson atau Seremban


Sebarang pertanyaan sila hubungi:
Pejabat Hutan Daerah Negeri Sembilan Barat
Tingkat 2 Persiaran S2 A2
Kompleks Pentadbiran Daerah Seremban
70300 Seremban, NSDK

Tel: 066014000
Fax: 066014004

Facebook: https://www.facebook.com/sgmenyala/