KENYATAAN MEDIA


 MAKLUMBALAS BERKAITAN LAPORAN MEDIA TENTANG

ISU SAMPAH SARAP DI LATA DINDING

 

Merujuk kepada artikel yang telah disiarkan oleh akhbar Metro pada 1 September 2020 (Selasa) berkaitan dakwaan sebanyak 15 kilogram sampah di bawa keluar dari Air Terjun Lata Dinding oleh Pencinta Alam Hikers (PAH). Pihak Jabatan mendapati bahawa sampah tersebut merupakan sampah yang dikutip di sepanjang jalan dari Lata Dinding hingga ke Kem Sungai Kering yang berpunca daripada sikap pengunjung yang tidak bertanggungjawab. Ini adalah disebabkan oleh peningkatan bilangan pengunjung di Taman Negeri Kenaboi sepanjang bulan Ogos iaitu seramai 1,700 orang yang disebabkan oleh cuti umum diikuti cuti hujung minggu yang panjang. Pihak Jabatan menghadapi kekangan kekurangan kakitangan bagi mengawal keseluruhan  Taman Negeri Kenaboi yang berkeluasan 9,400 hektar.


Sehubungan dengan itu, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan ingin menegaskan bahawa setiap pengunjung yang memasuki Taman Eko Rimba dan Taman Negeri Kenaboi perlu membawa keluar sampah masing-masing setelah selesai menjalankan aktiviti selaras dengan SOP Ekopelancongan Hutan di Taman Eko Rimba dan Taman Negeri semasa di dalam Tempoh Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Perkara ini telah dimaklumkan kepada pengunjung melalui laman web Jabatan, laman sosial Facebook dan Instagram Jabatan serta telah dipaparkan di papan tanda pintu masuk ke Taman Negeri Kenaboi.


Tindakan pemantauan dan penguatkuasaan akan ditingkatkan bagi memastikan pengunjung masuk secara sah serta mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan sepanjang melakukan aktiviti dalam Taman Eko Rimba dan
Taman Negeri Kenaboi. Pihak Jabatan juga ke arah melaksanakan deposit sampah bagi semua pengunjung yang memasuki Taman Eko Rimba dan Taman Negeri Kenaboi.


Oleh yang demikian Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan memohon kerjasama semua pengunjung Taman Eko Rimba dan Taman Negeri Kenaboi agar memastikan kebersihan dan keselamatan dalam kawasan ekopelancongan menjadi tanggungjawab bersama selaras dengan hasrat kerajaan dalam menangani pandemik Covid 19. 

#kitajagakita

Jabatan Perhutanan Negeri
Negeri Sembilan Darul Khusus
4 September 2020