Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan ditubuhkan pada tahun 1900 apabila A.L.M Scott dilantik sebagai Pegawai Perhutanan Negeri Sembilan yang pertama. Bertanggungjawab kepada Kerajaan Negeri dalam mentadbir sumber hutan negeri. Mendapat nasihat teknikal dan professional dari Ibu Pejabat Perhutanan Semenanjung Malaysia di dalam semua aspek pengurusan hutan, pembangunan perindustrian kayu-kayan, latihan dan pendidikan tentang faedah-faedah hutan selaras dengan kehendak-kehendak Dasar Perhutanan Negara.


Hutan di Negeri Sembilan adalah sebahagian daripada Hutan Hujan Tropika Malaysia yang merupakan salah satu daripada ekosistem yang kaya dan kompleks di dunia. Ianya kaya dengan flora dan fauna yang unik dan amat mengkagumkan, bahkan juga mempunyai peranan yang tersendiri di dalam mengawal kestabilan dan kualiti alam sekitar. Hutan juga merupakan tempat perlindungan hidupan liar selain bertindak sebagai gedung simpanan sumber genetik disamping menjadi punca utama hasil hutan untuk kepentingan sosio-ekonomi negara.


Di bawah naungan pentadbiran Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan terdapat dua daerah iaitu Negeri Sembilan Daerah Barat dan Negeri Sembilan Daerah Timur. Di samping bertanggungjawab mengurus dan mentadbir kawasan hutan di negeri ini, Jabatan Perhutanan juga bertanggungjawab menyusun strategi berasaskan kepada dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan supaya pengurusannya menjadi lebih mantap dan efektif