Pengumuman Jabatan

Pembangunan Dan Pelaksanaan Kriteria Dan Petunjuk Pengurusan Hutan Di Semenanjung Malaysia

Standard MC&I (2001) yang dilaksanakan di lapan (8) buah negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu telah menerima beberapa kritikan khususnya daripada Badan-Badan Bukan Kerajaan yang berpendapat bahawa Standard ini masih perlu diperlengkapkan lagi bagi memberi pertimbangan yang lebih munasabah dan menyeluruh kepada kehendak perlindungan alam sekitar, ekologi, sosial dan kepelbagaian biologi.

Menyedari hakikat ini, Malaysian Timber Certification Council (MTCC) telah bekerjasama dengan Forest Stewardship Council (FSC) pada tahun 1999 untuk membangunkan satu standard baru yang berdasarkan Prinsip dan Kriteria FSC. Di bawah kerjasama itu, Bengkel Pensijilan Hutan telah diadakan pada bulan Disember 2000, membolehkan pembentukan pelbagai pihak berkepentingan National Steering Committee (NSC) yang telah diberi mandat untuk membuat keputusan mengenai terma dan syarat-syarat untuk kerjasama MTCC-FSC serta untuk menyemak semula standard pengurusan hutan yang sedia ada supaya bersesuaian dengan keperluan FSC. Di samping itu, kajian kerjasama MTCC-FSC untuk membandingkan standard pengurusan hutan yang sedia ada dengan Prinsip dan Kriteria FSC (P&C) telah dijalankan oleh dua perunding bebas dan laporan akhir telah diserahkan kepada MTCC dan FSC pada September 2001.

Deraf awal MC&I (2002) ini telah dikaji semula dan penambahbaikan telah dibuat dengan mengambilkira perbezaan tiga wilayah di Malaysia iaitu perbezaan ekonomi, alam sekitar dan keadaan sosial. Hasil daripada perundingan dan perbincangan secara bersama telah bersetuju menerimapakai dokumen bertajuk Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification [MC&I (2002)] sebagai Standard untuk penilaian dan Pensijilan Pengurusan Hutan pada tahun 2004.

Selaras dengan amalan antarabangsa dan proses penetapan standard untuk pembangunan standard pensijilan yang diterima pakai di bawah MTCS, di mana ianya memerlukan supaya kajian semula dijalankan sekurang-kurangnya setiap lima (5) tahun sekali untuk memastikan penambahbaikan dibuat secara berterusan. Untuk tujuan ini, Standards Review Committee (SRC) yang merupakan forum pelbagai pihak berkepentingan yang ditugaskan untuk mengkaji semula MC&I (2002) serta untuk membangunkan standard yang disemak semula telah ditubuhkan. MTCC bertindak sebagai Sekretariat kepada SRC dan memainkan peranan bagi memudahkan pembentukan SRC itu.

Sehingga awal Februari 2012, lapan (8) FMU di Semenanjung Malaysia iaitu FMU Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu yang melibatkan sejumlah 4.58 juta hektar Hutan Simpanan Kekal telah berjaya dikekalkan dengan Sijil Pengurusan Hutan mengikut Standard MC&I (2002) oleh Badan Pensijilan Bebas iaitu SIRIM QAS International Sdn Bhd dan SGS (Malaysia) Sdn Bhd. Bagi tahun 2012, kesemua lapan (8) FMU ini akan diaudit mengikut Standard MC&I (Hutan Asli) bermula pada 1 Julai 2012. Standard MC&I (Hutan Asli) akan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Jun 2013.