RANCANGAN PENGURUSAN HUTAN NEGERI SEMBILAN 2016-2025

Rancangan Pengurusan Hutan (RPH) yang disediakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 4, Akta Perhutanan Negara 1984 yang menyatakan bahawa Pengarah Perhutanan Negeri hendaklah “menyebabkan supaya disedia dan dilaksanakan rancangan pengurusan hutan negeri yang hendaklah menyatakan kebenaran menebang sama ada dalam bentuk isipadu atau luas kawasan mengikut prinsip perolehan berkekalan”.  Di samping itu, penyediaan RPH Negeri Sembilan bagi tempoh 2016 hingga 2025 adalah bagi menggantikan RPH sedia ada bagi tempoh 2006 hingga 2015. Penyediaan RPH ini adalah di bawah skop kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) sahaja. 

RPH yang disediakan ini merupakan sebuah dokumen rujukan asas bagi pihak pengurusan hutan di peringkat negeri yang menyediakan perancangan pembangunan jangka masa panjang bagi tempoh 10 tahun akan datang dari aspek ekonomi, fizikal, sosial dan alam sekitar. RPH ini menyediakan senarai komprehensif aktiviti-aktiviti dan strategi yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan dalam usaha menguruskan dan membangunkan sumber hutan di negeri ini termasuklah langkah-langkah untuk mengawal pembukaan kawasan pengusahasilan, mempertingkatkan hasil keluaran hutan dan memperkukuhkan kesejahteraan sosio ekonomi. Penekanan juga diberi terhadap pertumbuhan eko pelancongan melalui penjanaan aktiviti ekonomi dikawasan hutan lipur dan taman negeri. Di samping itu, penyediaan RPH ini juga adalah mengambil kira keperluan kriteria dan petunjuk bagi pensijilan pengurusan hutan di bawah skim pensijilan bagi Pengurusan Hutan Secara Berkekalan MC&I (Hutan Asli). 

Matlamat penyediaan RPH ini adalah seperti di berikut:

·      Menyediakan satu pelan Rancangan Pengurusan Hutan bagi tempoh sepuluh tahun iaitu antara tahun 2016 – 2025 sebagai rujukan kepada pihak pengurusan dan kakitangan; dan

·      Menggariskan strategi pelaksanaan pengurusan hutan di kawasan HSK dengan mengambil kira aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar serta mengoptimumkan penggunaan sumber hutan dan perkhidmatan hutan.

Jabatan  Perhutanan  Perhutanan Negeri Sembilan (JPNNS) adalah bertanggungjawab untuk mentadbir, mengurus, memelihara dan membangunkan sumber hutan secara berkekalan di negeri ini. Sehubungan itu, bagi mencapai keunggulan dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, JPNNS ditadbir berdasarkan kepada pembahagian tiga (3) daerah hutan iaitu Sembilan Barat, Negeri Sembilan Timur dan Negeri Sembilan Utara. Pengwujudan pentadbiran Pejabat Hutan Daerah baru iaitu Negeri Sembilan Utara selaras dengan penyusunan semula organisasi diharap dapat meningkatkan kecekapan pengurusan dan pembangunan hutan di Negeri Sembilan.

Kawasan HSK di Negeri Sembilan pada tahun 2014 adalah seluas 155,825 hektar iaitu merangkumi 23% daripada keluasan tanah negeri. Terdapat 22 kawasan HSK yang telah diwartakan yang terdiri daripada Hutan Darat seluas 155,607 hektar dan Hutan Paya Laut seluas 101 hektar. Berdasarkan Seksyen 10(1), Akta Perhutanan Negara 1984, kawasan HSK perlu dikelaskan sebagai salah satu atau lebih mengikut Kelas Fungsi Hutan. Pengkelasan hutan sehingga tahun 2014 yang telah diwartakan dan cadangan pengkelasan baru dalam tempoh RPH ini adalah seperti berikut:

Bil.

Pengkelasan Hutan

Luas Diwarta (ha)

Cadangan Baru (ha)

1

Hutan Pengeluaran Kayu Di Bawah Perolehan Berkekalan

95,652

0

2

Hutan Perlindungan Tanah

0

341

3

Hutan Tebus guna Tanah

0

101

4

Hutan Kawalan Banjir

0

0

5

Hutan Tadahan Air

51,020

0

6

Hutan Perlindungan Hidupan Liar

9,036

0

7

Hutan Simpanan Hutan Dara

3,802

0

8

Hutan Lipur

2,969.90

0

9

Hutan Pelajaran 

9,173

0

10

Hutan Penyelidikan

2,987

0

11

Hutan Bagi Maksud-maksud Persekutuan

0

0

12

Hutan Taman Negeri

0

0

 

Berdasarkan pengkelasan di atas, seluas 95,652 hektar kawasan HSK dikelaskan sebagai Hutan Pengeluaran Kayu Di Bawah Perolehan Berkekalan iaitu lebih kurang 61% manakala 39% dikelaskan sebagai Hutan Perlindungan. Aktiviti pengusahasilan kayu balak di kawasan Hutan Pengeluaran dijalankan secara Sistem Pengurusan Memilih [Selective Management System (SMS)] dan dilaksanakan melalui kaedah Pembalakan Berimpak Rendah [Reduced Impact Longging (RIL)]. Di samping itu, pembukaan kawasan pengusahsilan di kawasan HSK dikawal melalui Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang diluluskan oleh Majlis Tanah Negara (MTN). CTT yang ditetapkan untuk Negeri Sembilan bagi tempoh RMKe-11(2016-2020) adalah seluas 2,397 hektar manakala cadangan CTT bagi tempoh RMKe-12 (2021-2025) adalah seluas 2,038 hektar. Langkah-langkah kawalan, pencegahan dan pemantauan perlu dilaksanakan semasa aktiviti pengusahasilan dijalankan bagi mengurangkan kesan kepada alam sekitar dan dirian tinggal. Langkah-langkah mitigasi telah diperincikan dalam RPH ini semasa aktiviti pengusahasilan dijalankan di samping mematuhi keperluan standard MC&I (Hutan Asli) dan MS ISO 9001:2008.

Negeri Sembilan juga kaya dengan kepelbagaian biodiversiti flora dan fauna terutamanya melibatkan kawasan HSK. Maklumat penemuan kepelbagaian biodiversiti flora dan fauna ini diperolehi melalui kajian-kajian yang dijalankan oleh penyelidik dari dalam dan luar negara serta beberapa ekspedisi saintifik yang dijalankan di kawasan HSK di Negeri Sembilan. Dalam tempoh RPH ini, pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi terus diberi penekanan. Bagi maksud ini dua (2) kawasan Hutan Yang Mempunyai Nilai Pemeliharaan Yang Tinggi [High Value Conservation Forest (HCVF)] telah ditubuhkan iaitu Hutan Simpan Sg. Menyala dan Hutan Simpan Setul akan terus dipelihara. Hutan Simpan Sungai Menyala mengandungi dirian Hutan Dipterokarpa Pamah (Lowland Dipterocarp Forest) yang unik manakala Kompartment 4 Hutan Simpan Setul mempunyai spesies endemik yang jarang dijumpai iaitu Vatica yeechogii (Resak). Oleh itu, matlamat pengurusan kawasan HCVF ini adalah untuk diurus, dipulihara dan dilindungi sepenuhnya agar kandungan dan fungsi kawasan tersebut dapat dikekalkan. Di samping itu, di Negeri Sembilan juga terlibat dengan rangkaian koridor ekologi Central Forest Spine (CFS) yang diwujudkan untuk menghubungkan fragmentasi hutan yang terputus iaitu di kawasan SL6: HSK Triang-Kenaboi dan SL7: HS Angsi-Berembun bagi membentuk sebahagian koridor CFS Semenanjung Malaysia melalui Pelan Tindakan CFS Negeri Sembilan.                                  

Hutan bukan sahaja membekalkan barangan tetapi juga memberikan perkhidmatan kepada manusia terutamanya bagi tujuan riadah dan rekreasi. Bagi tujuan ini, di Negeri Sembilan terdapat 11 hutan lipur yang telah diwartakan dan pelbagai prasarana telah disediakan untuk kemudahan dan keselesaan orang ramai berekreasi. Selain daripada hutan lipur, terdapat produk pelancongan lain yang telah ditubuhkan di Negeri Sembilan iaitu Pusat Pendidikan Pelancongan (Edu Ecotourism) Pengurusan Hutan Tropika, Sg. Menyala dan Taman Alam Liar, Lembah Jemaloi. Seiring dengan Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045, kemudahan di Pusat Edu EkoTourism Pengurusan Hutan Tropika, Sg. Menyala akan dipertingkatkan untuk kemudahan pengunjung dan pembangunannya menggabungkan elemen-elemen alami, sejarah, nilai pendidikan dan konservasi. Fokus pembangunan adalah untuk menjadikanya salah satu destinasi mesti lawat di Negeri Sembilan. Di samping itu, kawasan Hutan Simpan Kenaboi juga telah dikenalpasti sebagai kawasan penting untuk pembangunan eko-pelancongan di dalam Wilayah Biodiversiti seperti yang diberi penekanan dalam draf Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045.

Industri berasas kayu merupakan pengguna utama sumber hutan untuk menghasilkan produk nilai tambah yang tinggi.  Di Negeri Sembilan terdapat beberapa jenis industri yang memproses kayu balak dan keluaran kayu lain serta hasil hutan bukan kayu.  Bilangan kilang pemprosesan utama (kilang papan/kilang papan lapis/kilang venir) yang beroperasi pada tahun 2014 adalah sebanyak 30 berbanding 37 yang berlesen.  Manakala kilang pemprosesan hiliran yang beroperasi adalah sebanyak 57 berbanding 75 yang berlesen. Kekurangan bekalan bahan mentah kayu dan peningkatan kos operasi menyebabkan sebahagian daripada kilang yang dilesenkan tidak dapat beroperasi. Walau bagaimanapun di dalam tempoh RPH ini, penumpuan akan diberikan kepada industri berasas kayu supaya ia terus memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi Negeri Sembilan dari segi menyumbang kepada hasil negeri dan peluang pekerjaan. 

Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan amat perihatin terhadap kesinambungan dan kemajuan kualiti kehidupan komuniti Orang Asli yang menggunakan sebahagian kawasan dan sumber hutan. Sehubungan dengan ini pihak Jabatan akan mengenalpasti, mengurus dan memelihara kawasan-kawasan yang disifatkan istimewa oleh komuniti Orang Asli seiring dengan amalan terbaik pengurusan hutan. Komuniti Orang Asli di Negeri Sembilan kebanyakannya tinggal dalam kampung-kampung yang terpencil terutama dipinggir kawasan berhutan dan bertaburan di serata negeri di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Di Negeri Sembilan sebahagian kecil sahaja Orang Asli yang masih bergantung hidup kepada hasil hutan seperti rotan, gaharu, rebung buluh, daun pisang, petai, durian, tumbuhan aroma dan ubatan serta memburu hidupan liar.

Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan adalah komited untuk mengurus sumber hutan di negeri ini melalui pensijilan pengurusan hutan MS ISO 9001:2008 dan MC&I (Hutan Asli). Kedua-dua sijil ini berkuatkuasa sehingga 14 September 2018 bagi MS ISO 9001:2008 dan 27 Disember 2018 bagi MC&I (Hutan Asli). Dalam tempoh RPH ini, Jabatan akan memberi lebih penekanan kepada keberkesanan latihan kakitangan bagi menghayati dan membuat penambahbaikan dalam Sistem Pengurusan Kualiti ke atas penemuan ketakakuran yang ditemui sama ada oleh audit dalaman atau audit bebas. Pihak JPNNS juga komited untuk mengekalkan kedua-dua pensijilan pengurusan hutan ini.

Bagi melaksanakan tanggungjawab mengurus sumber hutan di negeri ini dengan berkesan dalam tempoh RPH ini, penyediaan tenaga sumber manusia dan kewangan secukupnya sangat penting. Bilangan perjawatan bagi JPNNS adalah seramai 298 orang bagi pelbagai jawatan kumpulan profesional dan sokongan. Walau bagaimanapun sehingga tahun 2015 terdapat kekosongan jawatan bagi kumpulan sokongan seramai 39 orang daripada 245 perjawatan. Jawatan-jawatan kosong ini perlu diisi terutamanya bagi jawatan Pengawas Hutan dan Pekerja Awam Khas untuk menjamin kelancaran pentadbiran. Di samping itu, pembangunan, penyelenggaraan infrastruktur dan logistik merupakan aktiviti sokongan yang penting dalam menjamin perlaksanaan program dan aktiviti yang dirancang dalam tempoh RPH ini dapat berjalan dengan jayanya. Anggaran sumber kewangan yang diperlukan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang dirancangkan dalam tempoh RPH ini adalah sebanyak RM169,543,311.00.

Secara amnya, strategi pembangunan hutan yang dirangka untuk RPH ini akan memberi fokus kepada pengeluaran secara berkekalan barangan dan perkhidmatan hutan untuk mencapai pengeluaran yang optimum kepada pembangunan sosio-ekonomi negeri di samping pemeliharaan alam sekitar. RPH yang disediakan ini merupakan sebuah dokumen yang akan digunakan sebagai asas rujukan untuk mengurus, mentadbir dan membangunkan sumber hutan di Negeri Sembilan. Di samping itu, bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan strategi yang digariskan tersebut pendekatan urustadbir yang digunakan adalah berdasarkan kepada Amalan Pengurusan Terbaik dan Strategi Lautan Biru Kebangsaan [National Blue Ocean Strategy (NBOS)]. Penekanan yang diberi ialah penerapan pemikiran budaya kerja melalui idea baru yang kreatif dan inovatif dalam memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat seperti mana yang dikehendaki dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP). Semakan separuh penggal RPH ini perlu dilaksanakan pada tahun 2020 bagi menilai pencapaian sebenar aktiviti-aktiviti yang digariskan dan mengenalpasti kekurangan serta kelemahan strategi sedia ada untuk dijadikan asas kepada penambahbaikan strategi baru bagi mencapai objektif pengurusan hutan.