Bismillāhir-Rahmānir-Rahīm
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Salam Malaysia MADANI dan Salam Bersih, Muafakat, Sejahtera.
Pertama sekali, saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, kita dapat terus melangkah menggalas amanah dalam memelihara khazanah hijau bumi Negeri Sembilan.
Selamat datang ke portal rasmi Jabatan Perhutanan Negeri, Negeri Sembilan. Laman web ini merupakan jendela digital utama kami dalam menyampaikan rantaian maklumat, perkhidmatan dan dasar-dasar terkini pengurusan hutan kepada seluruh masyarakat.
Sebagai agensi yang bertanggungjawab memelihara warisan khazanah alam semula jadi asli negeri, Jabatan Perhutanan Negeri, Negeri Sembilan komited sepenuhnya terhadap Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management - SFM). Buat masa ini, keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Negeri Sembilan berjumlah 154,893.95 hektar atau 23.23% daripada jumlah keseluruhan keluasan negeri, yang melibatkan 21 kawasan Hutan Simpanan Kekal. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan warisan ini terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Bagi mendepani cabaran era moden dan perubahan iklim global, kami terus mengintegrasikan elemen teknologi, penyelidikan dan penguatkuasaan yang tegas bagi memayungi kawasan Hutan Simpanan Kekal di Negeri Sembilan. Selain itu, kami turut memberi penekanan serius terhadap pembangunan sektor ekopelancongan berasaskan hutan (ecotourism) seperti Taman Eko Rimba (TER) dan aktiviti pendakian bagi mendekatkan masyarakat dengan alam semula jadi. Pembangunan ini tidak hanya dilaksanakan secara fizikal, malah turut dilengkapi dengan perkhidmatan secara digital bagi memudahkan perancangan dan urusan setiap pengunjung.
Selari dengan agenda global, komitmen kami ini turut menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals - SDG), terutamanya SDG 15 (Kehidupan di Darat) dalam memelihara ekosistem darat, SDG 13 (Tindakan Terhadap Iklim) menerusi penyerapan karbon hutan, serta SDG 17 (Rakan Kerjasama Demi Matlamat) melalui penglibatan aktif komuniti dan rakan strategik.
Jabatan juga akan terus menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan dalam memperkukuh sistem penyampaian awam yang cekap, telus, dan berintegriti.
Akhir kata, saya berharap agar laman web ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pengguna sebagai sumber rujukan yang berinformasi dan bermanfaat. Semoga usaha kita bersama ini dapat memberi impak positif kepada pembangunan serta kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar.
Sekian, terima kasih.