Sistem pengurusan hutan merupakan elemen terpenting dalam pembangunan hutan yang mampan untuk memastikan Hutan Simpanan Kekal terpelihara dan diselenggara dengan baik bagi pengekalan sumber asli dan kelestarian alam sekitar. Pemulihan hutan melalui aktiviti silvikultur merupakan aktiviti utama bagi menjamin pengeluaran bahan kayu secara berkekalan selaras dengan fungsi hutan untuk membekalkan sumber asli yang boleh diperbaharui.
Pengurusan Sumber Hutan
Amalan pengurusan sumber hutan secara berkekalan terus diamalkan sebagai teras penting dalam pengurusan hutan. Amalan ini adalah sejajar dengan keperluan pelaksanaan pensijilan pengurusan hutan di bawah Kriteria dan Petunjuk Malaysia (MC&I) yang digubal bersesuaian dengan Kriteria dan Petunjuk Pertubuhan Perdagangan Kayu-kayan Antarabangsa. Pensijilan ini dijalankan bagi memastikan produk kayu-kayan dari negeri ini diterima di peringkat antarabangsa. Bagi memastikan pengurusan hutan yang terbaik ke atas sumber hutan yang amat berharga ini serta memelihara kepelbagaian fungsinya, hutan ini haruslah diurus secara terperinci selaras dengan prinsip-prinsip pengurusan hutan secara berkekalan serta pensijilan hutan dan standard kualiti yang telah ditetapkan.
Penyelenggaraan Sempadan Hutan
Projek yang menjadi teras penting bagi menentukan kedudukan sempadan dan keluasan HUtan Simpanan Kekal sebelum sesuatu aktiviti lain seperti aktiviti pengurusan, pengusahasilan dan pembangunan hutan dapat dijalankan. Penandaan sempadan kawasan kerja yang betul adalah perlu bagi mengelakkan berlakunya pertindihan kawasan, kekeliruan, perubahan sempadan, komplikasi perundangan, kerugian hasil oleh pihak kerajaan dan memudahkan pengawasan serta pengawalan. Projek ini melibatkan aktiviti-aktiviti pembersihan sempadan luar Hutan Simpanan Kekal termasuk menyukat, mencuci sempadan, memasang tiang sempadan dan papan tanda bertujuan untuk menentukan sempadan kawasan Hutan Simpanan Kekal dengan tanah kerajaan dan tanah berimilik serta pengawalan dari pencerobohan hutan.
Inventori Hutan Sebelum Tebangan (Pre-F)
Inventori Hutan sebelum Tebangan (Pre-F) dijalankan bertujuan untuk mendapatkan maklumat tepat dan mengemaskini maklumat berkaitan keadaan dirian hutan. Dari maklumat yang dianalisakan tersebut, had batas tebangan dapat ditetapkan disamping dapat merancang dan mengurus pengusahasilan secara teratur sempurna dan berkesan. Inventori ini dijalankan dalam tempoh dua tahun sebelum pengusahasilan dijalankan.
Penandaan Pokok
Aktiviti penandaan pokok ini dijalankan di lapangan setelah had batas tebangan telah ditetapkan berdasarkan kepada analisa Inventori hutan sebelum tebangan (Pre-F). Aktiviti penandaan pokok dijalankan dengan menanda semua pokok tebangan, pokok ibu, pokok perlindungan, pokok jalan, pokok matau dan pokok tapak kongsi dan sempadan zon penampan alur air. Melalui penandaan pokok ini, kegiatan tebangan tanpa kebenaran dapat dikawal disamping untuk mengurangkan impak terhadap alam sekitar. Penandaan pokok lazimnya dijalankan dalam tempoh satu tahun sebelum sesuatu kawasan dibuka untuk pengusahasilan setelah had batas tebangan ditetapkan.