Pengurusan Sumber Hutan
Memperkukuhkan kedudukan kawasan Hutan Simpanan Kekal dan merumuskan Rancangan Pengurusan Hutan Negeri dan Rancangan Kerja Hutan Daerah untuk jangka masa panjang serta melaksanakan tugas pengurusan dan perlindungan sumber dan alam sekitar hutan secara teratur dan intensif. Disamping itu, penekanan juga diberi dalam aspek pengurusan hutan yang seimbang dengan keperluan hidrologi (sumber air), kepelbagaian flora dan fauna serta penstabilan ekologi hutan termasuk mengimbangi kejadian-kejadian luar jangka bencana alam.
Pengusahasilan Sumber Hutan
Melaksanakan operasi pengusahasilan hutan mengikut Sistem Pengurusan Memilih (SMS) secara sistematik dan terkawal demi untuk mengurangkan kerosakan terhadap dirian tinggal serta anak-anak benih dan mengawal keseimbangan ekologi serta kestabilan alam sekitar dengan melaksanakan pengusahasilan hutan mengikut Catuan Tebangan Tahunan yang telah ditetapkan.
Pembangunan Sumber Hutan
Melaksanakan kerja-kerja pemulihan hutan asli secara teratur menerusi rawatan silvikultur ke arah mencapai produktiviti hutan yang maksimum dengan mempergiatkan usaha-usaha menghutan semula kawasan-kawasan hutan simpan yang kurang produktif, tanah-tanah kerajaan yang terbiar dan tanah-tanah agensi kerajaan atau individu yang terbiar.
Pembangunan Industri Kayu-kayan
Mengawalselia perjalanan industri-industri berasaskan kayu ke arah mempertingkatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran ,meminimumkan pembaziran dan menggalakkan pertumbuhan industry hilitran berasaskan kayu; dan meningkatakn nilai tambahan kepada industry dan hasil negeri serta member khidmat nasihat teknikal kepada pihak-pihak berkenaan dari semasa ke semasa berhubung dengan pembangunan dan penggunaan teknologi moden dan canggih.
Pembangunan Rekreasi dan Eko-Pelancongan
Merancang, mengenalpaasti, membangun, menyelenggara dan menyelia kawasan HSK yang sesuai dan mencukupi sebagai kawasan produk eko-pelancongan yang berdaya saing dan komersil tanpa menjejaskan kestabilan alam sekitar. Selaras dengan kehendak Kerajaan Negeri, Jabatan ini menekankan kepada konsep “Think and Act Tourism” dalam pembangunan di kawasan-kawasan rekreasi seluruh Negeri Sembilan.
Pengembangan, Publisiti dan Seranta
Melaksanakan aktiviti-aktiviti pengembangan, publisiti dan seranta kepada semua lapisan masyarakat untuk meningkatkan kesedaran awam tentang peranan dan perkhidmatan Jabatan Perhutanan; memberi segala bentuk nasihat teknikal berhubungan dengan hutan dan fungsinya serta berkenaan dengan pokok dan peranannya; serta meningkatkan kecekapan kekitangan menerusi program-program pembangunan kapasiti termasuk menyedeiakan latihan, kursus dan seminar untuk member pendedeahan asas profesionalisme perhutanan di kalangan pegawai-pegawai hutan mengikut peredaran masa.
Penguatkuasaan Undang – Undang
Melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan hutan secara berkesan dan intensif berdasarkan peruntukan-peruntukan yang relevan dalam Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993), Enakmen Industri Berasas Kayu 1986 dan Kaedah-kaedah Industri Berasaskan Kayu 1992 serta peruntukan lain yang berkaitan. Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan Darul Khusus juga perlu melengkapkan pasukan atau unit penguatkuasaan termasuk mewujudkan jawatan tetap Penasihat Undang-Undang Jabatan dan Pegawai Penyiasat serta dilengkapi dengan kenderaan dan alat-alat kemudahan bersesuaian di samping latihan kemahiran.