Sepanjang tahun 2009, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan beroperasi dengan 269 bilangan kakitangan atau 84.9% berbanding dengan 317 perjawatan yang diluluskan. Di samping itu, pentadbiran Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan Darul Khusus turut disokong oleh seramai 14 orang kakitangan lantikan secara kontrak. Sejumlah 47 jawatan tetap yang sebilangan besarnya dari kalangan kakitangan berpakaian seragam tidak dapat diisi.
Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan Darul Khusus mempunyai permasalahan pengisian kakitangan berpakaian seragam khususnya dari kalangan Pengawas Hutan Tingkatan Biasa yang disebabkan kekurangan calon yang layak dari anak negeri. Kedudukan kakitangan dan perjawatan yang ada masih belum dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara berkesan memandangkan skop kerja dan beban tugas semasa ini jauh lebih berbeza dengan tahun asas permohonan perjawatan dibuat. Sungguh pun begitu, inisiatif sewajarnya telah diambil dengan mengiklankan jawatan ini secara terbuka kepada warganegara Malaysia.
Bagi mengatasi masalah skop kerja dan beban tugas pada masa kini antaranya adalah, pematuhan kepada ketetapan MC&I (2002), MS ISO 9001:2000, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan penumpuan turut diberi kepada aspek lain berkaitan dengan perhutanan seperti pembangunan dan pengurusan eko-pelancongan/taman negeri, Kepelbagaian Biologi, taman herba dan hidrologi.
Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan Darul Khusus juga telah merangka organisasi baru dengan cadangan bilangan kakitangan seramai 570 orang meliputi pelbagai peringkat jawatan.
Human Resource Management Information System (HRMIS)
HRMIS adalah salah sebuah aplikasi di bawah inisiatif Kerajaan Elektronik yang diterima pakai di Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan kini. Ia adalah Sistem Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam yang bersepadu, komprehensif dan berteraskan kompetensi bermula dari proses perancangan strategik tenaga manusia dan pengambilan pegawai (competency owner) sehingga pegawai bersara. Pelaksanaannya di kesemua agensi sektor awam telah dikuatkuasakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 12 Tahun 2005, bertarikh 8 Jun 2005.
Pelaksanaan HRMIS bermula dengan penyediaan data asas, diikuti dengan pengemaskinian maklumat Rekod Peribadi dan Profil Perkhidmatan. Ianya dijadikan Key Performance Indicator (KPI) bagi semua Ketua Jabatan supaya lebih perhatian dapat diberikan kepada perlaksanaan HRMIS sepenuhnya. Kejayaan pelaksanaan HRMIS memerlukan sokongan dan penglibatan yang positif dan efektif oleh semua pihak termasuk Pengurusan Atasan, Pengurus Sumber Manusia, Pentadbir Sumber Manusia, Pemilik Kompetensi dan Pentadbir Sistem.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan Darul Khusus telah mendapat pencapaian tertinggi dalam pengurusan HRMIS sepanjang tahun 2009.